MELAKA 16 Ogos – Kerajaan negeri sentiasa berusaha membantu golongan bumiputera berpendapatan rendah dan sederhana iaitu mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah agar dapat memiliki rumah yang selesa dengan harga lebih rendah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, projek pembinaan pangsapuri mampu milik di Bandar Jasin Bestari ia menawarkan harga antara RM106,000 hingga RM118,000 seunit yang dilihat dapat membantu golongan berkenaan.
Menurutnya, harga itu merupakan yang paling rendah ditawarkan Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (Pertam) untuk pembeli bumiputera.
“Mengikut harga pasaran semasa di peringkat nasional untuk rumah mampu milik dengan keluasan melebihi 850 kaki persegi (78.9 meter persegi) adalah antara RM150,000 hingga RM180,000, bagaimanapun harga Pertam yang diluluskan Jawatankuasa Belah Bahagi Negeri adalah lebih rendah.
“Kelulusan cadangan harga ini membuktikan kerajaan negeri begitu prihatin kepada rakyat berpendapatan rendah dan memastikan golongan ini dapat mampu memiliki rumah yang lebih selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pecah tanah Pangsapuri Mampu Milik Pertam Bandar Jasin Bestari, di sini semalam.
Kata Idris lagi, projek perumahan mampu milik di Bandar Jasin Bestari itu sejajar agenda memperkasa ekonomi bumiputera sekitar daerah Jasin khasnya.
“Sebanyak 320 unit rumah akan dibina dengan kos keseluruhan RM35 juta menerusi projek pangsapuri mampu milik di atas tanah berkeluasan 3.31 hektar yang dijangka siap dalam tempoh 18 bulan ini,” ujarnya.